Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penghalang kepada penyandang Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali untuk bertanding jawatan presiden parti selepas tamat tempoh penamaan calon 5 petang ini.
Azmin tiba di ibu pejabat PKR ketika tempoh penamaan calon tinggal sejam sebelum berakhir untuk menghantar borang.
"Hari ini saya juga sudah berbincang panjang dengan Anwar.
"Sebelum kita buat keputusan akhir untuk saya kekalkan jawatan sekarang," kata Azmin apabila ditanya mengapa tiba di saat akhir penamaan calon hari ini.
Sumber terdekat kepada Ahli Parlimen Gombak memberitahu The Malaysian Insider, Azmin sepatutnya menawarkan diri bertanding jawatan presiden bagaimanapun terhalang apabila Anwar terlebih dahulu awal pagi tadi menghantar wakil menyerahkan borang untuk bertanding jawatan presiden.
Anwar walaupun berdepan hukuman penjara selepas disabit bersalah meliwat tetap membuat keputusan bertanding dalam pemilihan kali ini.
Sumber juga memberitahu Azmin hampir pasti mencabar Dr Wan Azizah Wan Ismail sehingga tiba-tiba Anwar juga menghantar borang penamaan calon hari ini.
Azmin dicabar lima calon dala pemilihan kali ini – Ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk K Ramachandran dan Murali Subramaniam.
"Ini sebuah proses demokrasi, saya hormati sahabat-sahabat lain yang turut menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti," kata Azmin apabila ditanya saingan sengit yang bakal dihadapinya.
Dalam pada itu, Khalid berharap proses pemilihan kali ini berjalan dengan lancar dan bersih.
"Kita akan berbincang tentang apa yang boleh kita perjuangkan dan untuk kenyataan memburukkan rakan atau cuba mengata tidak perlu dilakukan.
"Kita bertanding akan menjadikan parti ini parti yang matang dan jika kita ingin memerintah Malaysia, kita kena tunjukkan sifat bertanggungjawab dan ketelusan yang ikhlas," kata Khalid, yang juga merupakan seteru kepada Azmin.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Chua menyifatkan pemilihan jawatan timbalan presiden sebagai "pertandingan setiakawan" dan contoh proses demokratik yang diamalkan PKR.
"Ini pertandingan setiakawan, bukan perlawanan.
"Kita benarkan orang ramai untuk bertanding, kamu bertanding dan kukuhkan persahabatan, kita akan lihat dinamik dalam parti... Semua yang bertanding mempunyai peluang," kata Chua yang juga penyandang Naib Presiden PKR.
Hari ini bermula penamaan calon di peringkat pusat.
Bagi peringkat cawangan pula, ia akan diadakan mengikut zon bermula 4 hingga 13 April ini.
Pemilihan PKR akan bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini. – 29 Mac, 2014.
No comments:
Post a Comment