Saturday, 29 March 2014

Tiada keputusan halang Anwar jadi presiden PKR, kata Karpal

Tiada keputusan halang Anwar jadi presiden PKR, kata Karpal


Tidak ada sebarang keputusan yang melarang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden PKR, kata peguamnya Karpal Singh.
"Saya tidak fikir dia dihalang daripada bertanding. Tidak ada juga yang menghalang beliau daripada penamaan calon.
"Dia tetap boleh bertanding dan jika menang, dia boleh merayu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk dikecualikan," katanya pada sidang media hari ini.
Mengikut Seksyen 9A(1)(b) Akta Pertubuhan, seseorang dilarang memegang jawatan dalam sebarang pertubuhan berdaftar jika dia didapati bersalah dan didenda tidak kurang RM2,000 atau penjara tidak kurang setahun.

Bagaimanapun, seseorang boleh memohon kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk dikecualikan daripada peraturan di bawah Seksyen 9A(4) akta yang sama.
PKR mengadakan pernamaan calon hari ini untuk pemilihan semua jawatan tertingginya.
Anwar, ketua umum PKR, akan bertanding jawatan presiden walaupun didapati bersalah kerana meliwat dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan.
Wakilnya, Low Chee Chong, yang juga timbalan bendahari PKR menyerahkan borang pencalonannya awal hari ini.
Sejak 1998, isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail memegang jawatan itu.
Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh sedang memfailkan rayuan atas hukuman itu. Jika gagal, dia akan dipenjarakan dan akan hilang kerusi Parlimen. – 29 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment